ANGIN PASANG



Hernia (Angin Pasang)

Hernia atau lebih dikenali dengan angin pasang ialah bonjol di pelipat paha yang terjadi kerana kelemahan otot di kawasan itu. Akibat daripadanya ialah usus terbonjol keluar. Bonjol ini berbahaya kerana usus yang membonjol keluar boleh terperangkap dan tidak dapat dimasukkan semula ke tempatnya. Keadaan ini akan mengakibatkan sakit jika penbedahan tidak dilakukan. Oleh itu semua bonjol di kawasan pelipat paha mesti dirujuk kepada doktor untuk pembedahan.

Tanda-Tanda
  • Bonjol di pelipat paha.
  • Bonjol tenggelam apabila ditekan dan jika anak berbaring terlentang.
  • Bonjol membesar apabila anak batuk atau menangis.
  • Kadang-kadang bonjol masuk ke dalam pundi-pundi buah zakar.

Tindakan Ibubapa
  • Periksa kawasan pelipat paha anak jika ia menangis atau mengadu sakit.

Rujukan Kepada Doktor Perlu Apabila
  • Ada bonjol di pelipat paha atau di dalam pundi-pundi buah zakar yang perlu dipastikan diagnosisnya.
  • Bonjol yang tidak dapat dimasukkan ke dalam.
  • Bonjol yang keras.
  • Anak muntah, sakit perut dan sentiasa menangis.

Komen : Hernia ini berlainan daripada hernia pusat (bonjol di pusat). Hernia pusat akan pulih tanpa pembedahan tetapi hernia di pelipat paha memerlukan pembedahan. Pembedahan itu kecil dan pesakit akan keluar hospital keesokan harinya.