INFO-INFO DALAM PANTANG

Makanan ibu dalam pantang dan info-info dalam pantang
Pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal. Apalagi semasa melahirkan anak, tenaga dikerah dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di bahagian tertentu.



Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum). Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh sebab itulah makan perubatan moden menentang amalan berpantang cara Melayu. Ingin diingatkan, cara pemakanan tersebut bukanlah cara Melayu tradisional yang sejati tetapi merupakan sebahagian cara hidup mereka yang kurang berkemampuan.



Jenis ikan



Ibu dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau ikan kering kerana makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau busuk, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.



Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung, tamban, cencaru, atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan lain-lain.



Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam pantang bersalin ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka dalaman dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur mengandungi khasiat mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan yu dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik turut mendapati perkara tersebut benar.



Ulam-ulaman



Terdapat pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah diperoleh di mana-mana, antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga kantan, kunyit hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan.



Selain ulam di atas, terdapat ulam berkhasiat yang sesuai dimakan oleh ibu dalam pantang, antaranya:



Daun pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun maaf zahir batin, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun bebuas dan daun ruku.



Jenis sayuran dan buahan



Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih), kacang panjang, petola, labu, rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta terung. Ibu bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta tajam seperti air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat, tembikai cina, nangka, cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka, pisang embun, pisang udang, ubi kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis, macang, kuinin, dan binjai. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi. Penyakit-penyakit tersebut diketahui telah banyak berleluasa di barat dan dikenali sebagai artritis dan rheumatisme.



Jenis ayam dan burung



Ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh. Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.



Masalah-masalah dalam pantang

Darah Nifas



Wanita yang baru bersalin akan mengalami turun darah nifas yang hampir sama bentuknya dengan darah haid. Jangka waktu nifas lebih panjang daripada darah haid; purata lebih kurang dua minggu. Jika nifas berpanjangan melebihi jangka waktu ini, atau berlaku tumpah darah yang banyak mungkin ini menandakan gangguan atau penyakit dalam rahim.



Tumpah Darah



Tumpah darah selepas bersalin atau post-partum haemorrhage biasa berlaku sebaik sahaja wanita melahirkan anak sama ada selepas uri dilahirkan ataupun sebelum uri dilahirkan dan ia terlekat dalam rahim. Keadaan tumpah darah yang begini amatlah berbahaya kerana biasanya ia berlaku dengan tidak semena-mena dan pendarahan boleh berlaku dengan amat banyak sehingga boleh meragut nyawa ibu.



Tumpah darah ketika ataupun sebaik sahaja lepas bersalin masih menjadi punca utama kematian ibu di Malaysia, khususnya ibu yang melahirkan anak di rumah. Masalah ini juga kerap dialami oleh ibu yang telah banyak kali melahirkan anak. Akibatnya rahim menjadi lemah dan tidak boleh kuncup dengan kuat untuk mengelakkan kejadian tumpah darah. Keadaan ini juga boleh berlaku di hospital atau di pusat-pusat kelahiran khususnya mereka yang mengalami kerumitan ketika melahirkan anak seperti kelahiran dengan cara forsep. Namun demikian jika ia berlaku di hospital atau pusat-pusat kelahiran, biasanya ia boleh diselamatkan kerana adanya kemudahan rawatan dalam bentuk tranfusi darah serta kakitangan yang boleh mengendalikannya.



Jika kelahiran berlaku di rumah ia sering mengakibatkan maut. Wanita yang mengalami masalah seperti urinya terlekat dan tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh satu jam selepas bayi dilahirkan, akan mengalami masalah tumpah darah yang banyak. Oleh itu jika uri tidak boleh dikeluarkan, bawalah wanita itu segera ke hospital. Di sesetengah negeri di Malaysia ada satu pasukan ala flying squad yang boleh dipanggil untuk mendapatkan rawatan cemas di rumah.



Tumpah darah selepas bersalin mungkin juga boleh berlaku dalam masa 48 jam selepas bersalin atau bila-bila masa dalam seminggu selepas bersalin. Jika ia berlaku dalam masa 48 jam walaupun uri telah dikeluarkan, ini mungkin menandakan kuncupan rahim tidak begitu kuat ataupun sebahagian daripada uri atau selaput bayi masih tertinggal dalam rahim. Pendarahan mungkin juga disebabkan oleh jangkitan kuman dalam rahim. Setiap pendarahan yang berlaku dan melebihi had biasa perlu mendapat perhatian doktor dan jika ia berlaku dengan banyaknya pesakit perlu dibawa segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana ini boleh mengancam nyawa ibu.



Sebaiknya keadaan ini boleh dijauhkan dengan menentukan beberapa perkara:



Pertama: Ketika bayi dan uri dilahirkan tentukan setiap sudut uri diperiksa. Pemeriksaan ini untuk menentukan uri sempurna dilahirkan dan tiada bahagian, cebisan atau sisa-sisa yang tertinggal dalam rahim.



Kedua: Jauhkan daripada sakit beranak yang terlalu panjang dan berlarutan (prolonged labour). Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan tumpah darah berlaku. Bayi perlulah dilahirkan secara forsep atau pembedahan jika kesakitan bersalin melebihi hadnya. Wanita yang mengalami tumpah darah itu perlulah diberi tranfusi darah ataupun apa sahaja cecair yang sesuai dan mudah terdapat pada ketika itu jika darah tidak boleh didapati. Juga tentukan rahim itu kuncup. Jika ia tidak kuncup, suntikan ubat ergometrine akan diberikan untuk menentukan rahim kuncup untuk menahan pendarahan. Pesakit ini perlu menjalani pembedahan kecil untuk membersihkan sisa-sisa uri atau selaput bayi yang mungkin tertinggal dalam rahim. Proses yang digelar evacuation of the uterus ini perlu dilakukan di bilik bedah.



Jangkitan Kuman Pada Pundi Air Kencing



Salah satu masalah yang kerap dialami oleh wanita selepas bersalin ialah jangkitan kuman pada pundi air kencing. Masalah ini juga sering dialami oleh wanita hamil kerana aliran air kencing menjadi perlahan dan bertakung akibat rahim yang membesar. Ketika proses kelahiran berlaku, pundi air kencing menjadi sasaran menyebabkan ia tertekan, terhimpit dan kadangkala tercedera.



Doktor perlu memasukkan alat catheter untuk mengeluarkan air kencing yang mungkin bertakung oleh sebab proses kelahiran. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman. Apabila jangkitan kuman berlaku, wanita itu kerap membuang air kecil tetapi sedikit-sedikit dan terasa sakit atau pedih. Jika tanda-tanda ini berlaku, perlulah perhatian doktor. Air kencing perlu diperiksa untuk menentukan sama ada rawatannya hanyalah dengan memakan ubat antibiotik selama lima hari atau seminggu.



Jangkitan Kuman Pada Luka Dan Rahim



Selain daripada pundi air kencing, jangkitan kuman juga boleh berlaku pada luka di bahagian kemaluan, luka oleh sebab pembedahan sesarean dan luka pada rahim iaitu luka yang berlaku apabila uri dilahirkan. Jagaan dan kebersihan pada tempat-tempat yang luka sangat penting untuk menjauhkan jangkitan kuman. Penting juga wanita meningkatkan sistem pertahanan diri supaya serangan kuman dapat dielakkan. Ini boleh dicapai melalui pemakanan yang seimbang kandungan zatnya.



Pengambilan pil vitamin perlu diteruskan supaya tahap kesihatan dapat ditingkatkan dan seterusnya boleh mengelakkan serangan kuman.



Luka pembedahan sesarean boleh dijangkiti kuman menyebabkan takungan nanah atau abcess. Wanita itu akan terasa sakit berdenyut-denyut pada luka menjadikannya merah. Takungan nanah ini perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah. Rawatan secara dressing akan dilakukan setiap hari di samping ubat antibiotik untuk dimakan. Luka episiotomi juga boleh menimbulkan masalah jika jahitannya terbuka sebelum sembuh. Keadaan ini digelar breakdown. Kejadian ini biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman atau takungan nanah pada luka.



Jika ini berlaku pembedahan kecil perlu dilakukan untuk setiap hari. Masalah pada luka ini jika tidak dirawat dengan betul boleh menimbulkan masalah jangka panjang seperti terasa sakit ketika mengadakan hubungan kelamin. Oleh itu, setiap wanita perlulah menjaga kebersihan serta menjauhkan masalah jangkitan kuman pada luka di kemaluan.



Jangkitan kuman pada rahim juga boleh berlaku. Tanda-tanda bagi jangkitan kuman pada rahim ialah demam panas, sakit perut dan lendir yang berbau.



Lendir



ini biasanya bercampur darah nifas. Masalah tumpah darah juga mungkin berlaku akibat jangkitan kuman. Rawatan yang khususnya ialah dengan makan ubat antibiotik. Jika ada sisa-sisa uri atau selaput bayi tertinggal dalam rahim, ini memerlukan pembersihan secara D&C yang dilakukan di hospital.



Masalah Buah Dada



Beberapa masalah buah dada boleh berlaku selepas bersalin. Pertama, bengkak buah dada atau breast engorgement. Ini biasanya disebabkan oleh saluran susu pada puting tetek tersekat. Untuk menjauhkan masalah ini penting bagi setiap bakal ibu membersihkan puting buah dada dengan air bersih. Urutlah buah dada ke arah puting untuk memudahkan aliran susu. Jika buah dada selalu diurut, nescaya masalah saluran puting susu tersumbat boleh diatasi. Bengkak buah dada biasanya kerap berlaku di kalangan ibu yang tidak menyusukan anaknya.



Sebaiknya setiap ibu patut menyusukan bayinya dengan susu sendiri kerana khasiat makanan yang terkandung di dalamnya. Susu ibu sudah tersedia dan apa yang lebih pentingnya penyusuan ibu dapat merapatkan hubungan emosi antara bayi dan ibu. Bagi ibu yang telah membuat keputusan tidak akan menyusukan anaknya, masalah bengkak buah dada boleh diatasi dengan memakan ubat yang khusus untuk menyekat pengeluaran susu. Ubat ini mengandungi hormon estrogen yang dimakan lebih kurang lima hari. Ubat terbaru di pasaran untuk menyekat pengeluaran susu dan mencegah bengkak dan sakit buah dada ialah Bromocryptine yang dimakan selama beberapa hari.



Bengkak buah dada boleh menimbulkan masalah jangkitan kuman, mengakibatkan mastitis. Ini menyebabkan rasa sakit serta demam panas. Bagi mengawal keadaan ini, perlulah ibu berjumpa doktor yang kemudiannya akan memberi ubat antibiotik dan juga penawar sakit. Masalah jangkitan kuman pada buah dada boleh berlarutan menimbulkan masalah nanas atau abcess. Jika keadaan ini berlaku satu pembedahan kecil perlu dilakukan di hospital untuk mengeluarkan nanah itu.



Ubat antibiotik, penawar sakit dan juga hormon untuk menyekat pengeluaran susu akan diberikan bagi merawat abcess ini.



Amalan menyusukan bayi dengan susu sendiri boleh mengatasi masalah yang saya nyatakan di atas. Di samping itu, kajian telah menunjukkan penyusuan ibu mungkin boleh menghindarkan atau mengurangkan risiko penyakit kanser buah dada. Oleh itu saya sering menasihatkan ibu menyusukan bayinya sendiri kerana menyusu sendiri itu amat banyak faedahnya. Penyusuan juga dikehendaki oleh agama Islam seperti yang ternyata dalam Surah al-Baqarah 233 yang bermaksud bahawa ibu patut menyusukan bayinya selama dua tahun.



Masalah Emosi



Dalam masa pantang, sesetengah ibu yang baru melahirkan anak kerap mengalami tekanan jiwa dan emosi. Tekanan ini memang telah wujud sejak ibu hamil dan berterusan hingga melahirkan anak. Ketika pantang pula ibu perlu memberi jagaan yang rapi kepada bayinya.



Tekanan fizikal dan mental mempunyai kesan yang kuat terhadap jiwa dan emosi ibu. Akibat tekanan darah ini segolongan wanita mengalami masalah kemurungan (depression) atau ada yang lebih teruk lagi mengalami masalah sakit jiwa (pueperal psychosis). Dalam keadaan yang amat menekan jiwa ada segelintir wanita yang cuba membunuh diri. Tekanan jiwa dan emosi ini boleh dijauhi jika sokongan dan nasihat yang sewajarnya dapat diberikan oleh orang yang penting dalam hidupnya seperti suami.



Si isteri sepatutnya diberi bantuan, bukan sahaja bantuan fizikal dari segi jagaan terhadap isteri dan bayi yang baru lahir, tetapi juga sokongan moral. Saudara mara khususnya ibu wanita itu boleh juga membantu mengatasi masalahnya.



Jika ada tanda-tanda ibu itu mengalami kesedihan atau sakit jiwa, penting bagi suaminya membawa ibu ini berjumpa doktor atau pakar sakit jiwa supaya keadaan ini tidak akan berlarutan sehingga menimbulkan pueperal psychosis yang boleh membahayakan nyawa ibu. Pada masa ini, lingkungan keluarga menjadi semakin kecil. Sokongan moral dari saudara-mara makin berkurangan dan ini adalah salah satu faktor yang boleh mengakibatkan ramai wanita mengalami masalah emosi dan jiwa selepas bersalin. Sebaiknya hidup secara tradisi dengan mengamalkan keluarga luas atau extended family patut diteruskan supaya wanita yang baru bersalin dapat menghindarkan gejala-gejala emosi dan jiwa.





"Bengkung untuk Ibu pantang bersalin

dan kecantikan badan"





Berikut adalah beberapa persoalan yang ingin anda tahu tentang bengkung...



Perlukah saya memakai bengkung? * Mengikut ilmu perbidanan moden, kegunaan bengkung, terutama bagi ibu bersalin normal adalah untuk mengelakkan kemasukkan angin sejuk di liang-liang perut. Selain itu dapat memudahkan pengeluaran angin panas dan kotor iaitu dengan ikatan barut dan ubat yang sempurna.



Bagaimanakah ciri-ciri bengkung yang baik? Bengkung yang baik adalah bengkung yang mempunyai diameter yang panjang menutupi daripada paras bawah dada sehingga ke bawah pinggul. Ini dapat memberi sokongan yang kukuh ke atas rahim. Diameter bengkung yang pendek akan menyebabkan ia mudah terangkat ke atas. * Ini akan menjejaskan kedudukan rahim kerana bengkung itu akan menekan rahim ke bawah dan menyebabkan posisi rahim menjadi rendah. Selain itu, bahagian pinggul serta paha akan tertinggal seperti terlebih isi dan akan menjejaskan potongan badan. Di bahagian pinggang mengecil sedangkan di bahagian atas dan bawah kelihatan besar. Ia juga akan membatasi pergerakan anda dan akan lebih berhati-hati apabila bergerak.



Berapa lama perlu memakai bengkung ketika dalam pantang? Ketika dalam pantang bengkung seelok-eloknya dipakai sepanjang masa dan hanya ditanggalkan ketika mandi. Ianya mula dipakai dari hari ke-4 sehingga habis tempoh pantang atau seberapa lama yang anda kehendaki selepas tempoh pantang. Sebaik-baiknya anda mempunyai 2 helai bengkung agar dapat menukar bengkung untuk membersihkannya. Kebersihan amat penting agar tidak timbul masalah lain seperti kegatalan atau kerengsaan pada kulit.



Bolehkan saya memakai bengkung selepas pembedahan? Anda perlulah mendapatkan nasihat doktor anda sebelum memakai sebarang bengkung. Terdapat bengkung yang mempunyai ciri-ciri tertentu (seperti bengkung strap-on) yang boleh dipakai selepas pembedahan. Pastikan ciri-ciri ini adalah sesuai untuk anda. Bengkung yang tidak mempunyai ciri-ciri khas hanya boleh dipakai selepas luka sembuh atau atas nasihat doktor anda (selepas 2 minggu atau lebih)



Bagaimana pemakaian bengkung dapat membantu saya? Pemakaian bengkung yang kemas dan kejab dapat membantu mengembalikan bentuk badan ke bentuk asal dengan lebih cepat. Ia juga dapat mengekalkan posisi yang baik terutama bagi ibu-ibu yang menyusu anak. Biasanya mereka akan duduk dalam posisi yang tidak betul. Baik untuk menyokong tulang anda kerana selepas bersalin berat tidak lagi ditanggung oleh tulang belakang anda. Selain itu, ia juga menyokong dan menguatkan otot-otot abdomen yang lemah akibat regangan ketika mengandung.



Adakah bengkung ini hanya untuk wanita bersalin sahaja? Tidak. Ia boleh dipakai oleh sesiapa sahaja termasuk lelaki!



Perlukah memakai minyak dengan bengkung? * Minyak berubat boleh digunakan sebagai pelembab kulit. Ianya bagi mengecutkan peranakan, mengempiskan perut dan merampingkan pinggang.



TEKANAN DI KALANGAN WANITA SELEPAS BERSALIN



Pendahuluan

Kehadiran cahaya mata merupakan detik yang membahagiakan namun tidak ramai pasangan yang membicarakan tentang kesan tekanan emosi yang dihadapi oleh wanita khususnya selepas melahirkan anak terutama semasa dan selepas pantang. Malah banyak yang tidak mengetahui bahawa jangka masa berpantang adalah penting untuk menentukan sama ada ibu akan kembali normal seperti sebelumnya atau si ibu akan menderita akibat tekanan emosi seumur hidup.



Definisi Tekanan Selepas Bersalin.

Tekanan emosi yang diertikan oleh masyarakat terutamanya masyarakat melayu dengan nama "penyakit angin meroyan". Ia dikaitkan sebagai penyakit tekanan emosi bagi ibu-ibu yang mengalaminya sewaktu atau selepas dalam pantang.



Dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai "postnatal depression" yang bersangkut paut dengan kelakuan aneh sebagai kesan emosi (kejiwaan) yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak.



Bentuk Tingkahlaku "postnatal depression"

Wanita yang mengalami masalah "postnatal depression" seringkali menghadapi masalah sukar untuk tidur dan sentiasa mengalami kepenatan. Mereka kerap merasa tegang, rendah diri dan mudah untuk merasa marah. Mereka bukan sahaja menjauhi hubungan seksual dengan suami malah membencinya. Malangnya kebanyakan wanita yang menghidap "postnatal depression" tidak menyedarinya sebagai satu penyakit. Begitu juga dengan suami dan ahli keluarga. Suami mungkin menganggap isteri berubah laku bukan kerana penyakit "postnatal depression" tetapi semulajadi. Keadaan akan menjadi semakin teruk apabila suami tidak memahami keadaan tekanan emosi isteri



Keadaan wanita ini juga akan menunjukkan perubahan yang mendadak seperti kemurungan, runsing dan kelihatan tidak bermaya. Sikap juga berubah dari periang boleh bertukar menjadi pendiam. Kebanyakannya seakan hilang sentuhan dengan dunia alam realiti.



Faktor yang membawa kepada tekanan emosi "postnatal depression"

Sebenarnya terdapat banyak faktor psikologi yang boleh membawa kepada "postnatal depression" ini berlaku. Tidak dinafikan, kelahiran adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Tetapi tidak semuanya begitu. Berkemungkinan anak yang dilahirkan adalah anak yang tidak dikehendaki.



Tekanan ketika bersalin ditambah pula dengan rasa tertekan perasaan apabila mengenangkan anak yang dilahirkan. Apatah lagi wanita yang bersalin berkemungkinan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya sendiri atau mertuanya. Ini akan menambahkan rasa tekanan emosinya.



Kesakitan melahirkan anak diharap dapat difahami bersama oleh suami. Tetapi sebaliknya suami menganggap isteri telah biasa dengan kelahiran. Selepas kelahiran, ibu terpaksa berjaga malam menyusukan bayi dan menukar lampinnya yang basah. Ini membuatkan isteri tidak dapat menikmati masa rehat yang cukup. Baginya tiada kegembiraan dalam menimang cahaya mata sebaliknya merasakan ia sebagai kerja yang membosankan.



Tekanan emosi dan perasaan isteri akan lebih tertekan apabila suami tidak cuba memahami kepayahan dan kesakitan isteri. Setiap kali pulang kerja mengharapkan makanan terhidang, rumah bersepah isteri dimarah, sedangkan makan minum isteri ketika berpantang tidak pernah dihiraukan. Kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian harus dilakukan oleh suami jika tiada pembantu. Apabila keadaan tekanan ini tidak terbendung, rasa kecewa diluahkan dengan keadaan kemurungan dan menjadi pendiam. Yang lebih teruk sehingga menyebabkan isteri menjerit dan menangis seorang diri.







Sokongan emosi orang terdekat paling berkesan

Tidak banyak kajian yang dilakukan ke atas punca-punca berlaku kesugulan di kalangan ibu selepas melahirkan anak. Walaupun ada kajian yang menyatakan perubahan hormon merupakan punca berlakunya "postnatal depression" namun ia hanyalah faktor kecil disamping beberapa faktor penyebab yang lain. Seseorang wanita yang sering berasa kecewa, sentiasa muram dan bimbang juga menjadi punca berlakunya "postnatal depression".



Begitu juga bagi wanita yang belum bersedia menimang cahaya mata tetapi terpaksa menghadapinya juga cenderung mengalami masalah tersebut. Waktu dalam pantang, ibu mudah rasa tertekan kerana kehadiran bayi memerlukan ibu berjaga malam. Ada kalanya keletihan menjadikan ibu mudah tertekan. Oleh itu amat penting bagi bakal ibu mendapat sokongan moral dan emosi yang kuat daripada seseorang khususnya orang terdekat seperti suami terutamanya pada saat-saat menimang cahaya mata dan selepas melahirkannya.



Ini adalah kerana sokongan dan bantuan suami merupakan penawar yang paling mujarab ke arah kestabilan emosi isteri. Kajian yang dilakukan di negara-negara barat mendapati bahawa kaunseling merupakan ubat paling berkesan bagi merawat ibu yang mengalami "postnatal depression". Di Britain contohnya kaunseling biasanya dilakukan oleh kaunselor atau individu yang memberikan perkhidmatan menolong datang ke rumah pesakit. Sekaligus suami turut memberi bantuan sebagai kaunselor yang memberi sokongan emosi untuk menenangkan perasaan dan emosi isteri.



Harus difahami bahawa, wanita yang mengalami "postnatal depression" biasanya disebabkan oleh rasa kecewa kerana menyedari keadaan selepas menjadi ibu tidak seperti yang diharapkan. Sebelum kelahiran bayi mereka membayangkan bahawa kehidupan selepas mempunyai anak tentunya lebih indah kerana dikelilingi oleh bayi yang comel dan sihat.



Malangnya apabila mereka mengalami sendiri dalam dunia realiti, keadaannya berbeza. Apa yang dibayangkan dalam fikiran mereka menjadi sebaliknya. Mereka tidak melaluinya dengan mudah. Ini merupakan satu kejutan yang mengganggu emosi dan fikiran wanita tersebut. Maka bagi mereka yang gagal mengawal emosi ketegangan ini mudah mengalami "postnatal depression".



Bagi bakal ibu, persediaan paling penting sebelum menimang cahaya mata adalah persediaan emosi dan mental yang kuat. Selain daripada pengetahuan mengenai perawatan bayi, bakal ibu juga perlu tahu mengenai kesihatan diri sebelum dan selepas bersalin disamping bersedia untuk menerima kemungkinan buruk selepas bersalin. Meletakkan harapan yang tinggi tanpa persediaan jiwa dan rohani yang mantap akan hanya membawa kekecewaan yang memungkinkan anda mengalami "postnatal depression".



Pendekatan kaunseling sebagai satu altenatif

Secara teoritikalnya kita rujuk kepada pendapat teori yang terdapat dalam Terapi Rasional Emotif yang dipelopori oleh Albert Ellis memberi andaian tentang sifat semulajadi manusia iaitu manusia dilahirkan dengan satu potensi untuk berfikir secara rasional dan tidak rasional. Di samping manusia berkecenderungan untuk memelihara dirinya, mencapai kebahagiaan, berfikir dan menyampaikan buah fikirannya, ingin dikasihi dan mengasihi serta berkomunikasi dengan orang lain untuk berkembang maju ke arah nirwana kendirinya sendiri.



Sebagai suatu kaedah yang dianggap berkesan dalam mengatasi masalah tekanan semasa dalam pantang selepas melahirkan anak ialah melalui metoda psikoterapi dan kaunseling. Wanita-wanita dan suami yang bakal menimang cahaya mata disarankan supaya:



6.i Mempunyai persediaan yang cukup dari segi mental, fizikal dan material dalam menghadapi sebelum dan selepas kelahiran cahaya mata.



6.ii Bertemu doktor dan pegawai perubatan untuk mendapatkan nasihat bagi membuat persediaan yang berpatutan untuk menghadapi saat-saat kelahiran.



6.iii Datang berjumpa kaunselor untuk mengadakan sesi kaunseling perkahwinan bagi membincangkan aspek-aspek persediaan emosi dan kedua-dua pasangan yang akan menimang cahaya mata.



6.iv Menimba ilmu kemahiran menghadapi sebelum dan selepas kelahiran anak. Ini supaya kedua-dua pasangan tidak merasa janggal apabila berlakunya situasi tersebut.



Secara kesimpulannya dapat dikatakan bahawa keseimbangan emosi dan mental wanita yang melahirkan anak samada sebelum dan selepas pantang amatlah perlu diberikan perhatian. Bukan wanita itu sahaja bahkan perlu juga sokongan kefahaman dan pertolongan di pihak suami dan keluarga. Wanita yang melahirkan anak amat sensitif dan mudah tersinggung kerana perhatian dan bantuan amat di perlukan ketika itu.



Seseorang wanita yang mengalami tekanan postnatal depression ini boleh dipulihkan melalui sesi kaunseling dengan ahli-ahli keluarga terdekat seperti suami, ibu, kakak atau adik beradik yang lain haruslah bekerjasama dalam mengembalikan keriangan di dalam jiwanya. Pujuk dan bimbing supaya dia mendekatkan diri kepada Allah agar tidak berputus asa walaupun diberikan dugaan sedemikian rupa.



Dari sudut terapi kerohaniannya seseorang wanita yang menghadapi tekanan adalah disarankan supaya menenangkan diri dengan menanamkan rasa sabar, yakin dan tawaakkal di atas taqdir-Nya di samping menerima realiti yang berlaku. Cara yang terbaik untuk mengurangkan tekanan perasaan ialah memohon kepada Allah SWT supaya menenangkan fikiran dan perasaan resah gelisah menerusi solat dan doa. InsyaAllah dengan kekuatan ini wanita tersebut akan dapat merasa lega dan selaras antara kognitif, afektif dan tingkahlakunya.



Penutup

Masalah tekanan emosi dan mental seperti yang di alami oleh golongan wanita yang dikenali sebagai "postnatal depression" adalah merupakan suatu bentuk penyakit yang berlaku kepada wanita yang melahirkan anak. Jika tekanan ini dibiarkan berlarutan berkemungkinan ia akan menambahkan lagi kekusutan fikiran bahkan boleh menjadi tidak siuman.



Oleh yang demikian, tekanan seperti ini boleh di atasi dengan menggunakan kaedah kaunseling dan terapi yang dilakukan oleh suami atau individu yang ada kaitan dengan wanita tersebut. Namun apa yang lebih perlu ialah perhatian, kasih sayang dan juga bantuan kepada wanita yang melahirkan cahaya mata tersebut secara berterusan sehingga mengalami tahap kesihatan seperti sedia kala.







Pantang Larang Semasa Mengandung


Tempoh pantang memang suatu jangkamasa yang membosankan. Banyak perkara-perkara yang sebelum ini menjadi kebiasaan terpaksa ditinggalkan dan pada masa yang sama amalan-amalan baru terpaksa diikuti kerana bimbang akan menjadi bentan dan sebagainya.



Karenah sewaktu hamil juga kadangkala boleh mememningkan kepala. Kerap yang berlaku adalah mengidam. Dalam keadaan ini, ahli keluarga yang terdekat akan menjadi "mangsa" dan biasanya si suamilah. Seboleh-bolehnya suami perlu memahami keadaan isteri dan bersedia mendapat apa yang dihajati selagi ia tidak melanggar syariat agama.



Mengidam berlaku kerana perubahan hormon pada awal waktu mengandung., menjadikan selera ibu menurun. Jadi pada ketika ini, ibu akan teringin untuk makan apa yang terlintas dibenaknya. Mengidam juga dikaitkan dengan nafsu. Adakalanya apa yang diidamkan itu bersalahan dengan syariat dan keterlaluan, maka di sini ibu perlu banyak bersabar. Anggaplah ini merupakan ujian Allah s.w.t kepada hambaNya yang akan bergelar seorang ibu. Ibu-ibu perlulah bersabar, jangan terlalu mengikut nafsu.



Tabiat terlalu mengikut hati ini akan memberi kesan kepada anak-anak apabila dilahirkan kelak. Ibu yang sabar dan tabah akan melahirkan zuriat yang tingi jatidirinya. Manakala sikap ibu yang terlalu "memanjakan" diri dikhuatiri kelak anaknya menjadi "spoil".



Dalam membicarakan tentang pantang larang dan adat istiadat sewaktu mengandung ini, terdapat beberapa amalan yang masih dipraktikkan walaupun sudah tidak banyak seperti dahulu. Sebagai contohnya seperti adat melenggang perut untuk mengetahui jantina bayi. Buah kelapa akan diletakkan di atas perut ibu, dan selepas itu kelapa itu dibiarkan jatuh. Sekiranya jatuh ke kiri ibu itu dikatakan akan melahirkan anak lelaki dan sekiranya jatuh ke kanan akan melahirkan anak perempuan.



Dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa pantang larang yang masih lagi menjadi ikutan. Wanita-wanita hamil dilarang dari melakukan perkara-perkara berikut:



Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan semasa melahirkan anak. Yang sebenarnya, tujuannya larangan di sini adalah untuk melahirkan rasa hormat kepada orang tua da selalunya ibu mertua turut menjaga dan membantu sewaktu dalam pantang.



Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan.



Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.



Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.



Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.



Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.



Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh. Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.



Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.



Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.



Selain pantang larang yang dinyatakan di atas terdapat beberapa pantang larang lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:



Suami kepada ibu mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi bunyian kerana dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.



Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.



Suami juga dilarang memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.



Sejauhmana benar pantang larang ini. Namun apa yang penting di sini ialah sebagai bakal ibu dan ayah, manusia perlu senantiasa menjaga sikap dan tingkah laku, apatah lagi ketika hamil. Hanya kepada Allah s.w.t sahaja tempat hambanya meminta dan memohon agar tiada bala bencana ke atas kita sekeluarga InsyaAllah. Moga di anugerah anak yang comel lagi soleh.