MEMAKAI BENGKUNG

MEMAKAI BENGKUNG
Selain dari rawatan dalaman, Seterusnya sebelum memakai bengkung, saya sapukan perut dengan tapel ( ubat barut ) yang dicampurkan dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.
Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut :-
· segenggam jadam ( diperbuat dari kayu gaharu atau lidah buaya )
· halia ( Zingiber officinale ) sebesar ibu jari
· isi kunyit terus sebesar ibu jari
· tiga ulas bawang putih ( Allium sativum )
· asam jawa ( Tamarindus indica ) sebesar bola pingpong
· secawan air kosong
· periuk tembikar dan sudip
cara membuatnya:
Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campur perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga mengggelegak.
Cara Menyapu Jadam:
Biarkan jadam suam-suam kuku. Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan kemas. Seterusnya untuk lebih kemas pakailah bengkung.
Bengkung haruslah diikat ketat dan kemas meliputi bahagian punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara. Ini untuk mengelakkan bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung. ( Rujuk lampiran 2 untuk cara-cara memakai barut dan bengkung )

·